mutakhir

Balak bergolek tengah jalan

Kuantan: “Bagai aksi filem apabila secara tiba-tiba lori berkenaan terbabas ke kiri menyebabkan muatan balak terjatuh dan bergolek ke tengah jalan, mujur tiada kenderaan lain di belakang,” kata pemilik bengkel, Hafizan Ismail, 36, saksi kejadian lori balak terbalik di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berhampiran Bukit Rangin dekat sini, semalam.

Hafizan yang kebetulan berada 200 meter dari lokasi kejadian berkata, lori sarat muatan balak itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan, jam 1.30 petang.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan rantai yang mengikat balak terputus sebelum kayu sebesar dua pemeluk dewasa bergolek ke tengah jalan, sekali gus menutup satu lorong.

“Kemalangan berlaku terlalu pantas, saya lihat lori berkenaan terhuyung-hayang sebelum terbabas ke kiri menyebabkan rantainya putus, seterusnya balak terjatuh ke tengah jalan diikuti kenderaan itu terbalik.

“Saya lihat banyak balak melintang di tengah jalan menyebabkan laluan itu sesak berikutan lorong kiri ditutup. Orang ramai mula mengerumuni kawasan kejadian untuk membantu pemandunya,” katanya.

Hafizan dari Taman Tas berkata, hampir 10 balak bertaburan atas jalan termasuk lori yang melintang jalan sebelum polis tiba untuk mengawal lalu lintas.

“Ini kali pertama saya menyaksikan balak bertaburan di tengah jalan dan keadaan begitu menakutkan kerana boleh menyebabkan kehilangan nyawa jika menghempap kenderaan lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pemandu lori berusia 40 tahun itu dalam perjalanan dari Rompin menuju Kemaman, Terengganu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, rantai pengikat balak dipercayai terputus menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri menyebabkan balak bertaburan di tengah jalan.

“Pemandu yang belum dikenal pasti identiti itu cedera ringan dan dirawat di hospital swasta di bandar ini. Nahas itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang 500 meter menghala Gebeng.

Disiarkan pada: January 22, 2015 @ 9:53am
d