mutakhir

Tunggu wang cukup bagi anak hati

Ipoh: “Keadaan anak saya ketika ini tidak stabil dan sebaik wang diperlukan mencukupi, saya akan ke India untuk pembedahan hati anak menggunakan sebahagian hati saya,” kata Nur Amirah Syazwani Pandi, 22, ibu Mohd Aril Zafran Jamilulehsan, bayi berusia lapan bulan yang menghidap penyakit hati.

Menurut Nur Amirah, dia tidak mempunyai banyak pilihan bagi memastikan bayi lelaki itu terus hidup, sihat dan menjalani kehidupan dan membesar seperti kanak-kanak lain.

“Ketika ini harapan saya semoga urusan ujian keserasian minggu depan membabitkan Aril di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan selepas itu ujian keserasian akan dijalankan ke atas saya,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa memilih mendapatkan rawatan di luar negara berbanding di hospital negara ini yang turut mempunyai kepakaran kerana tiada pilihan lain.

Katanya, sebelum ini anaknya sudah dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, tetapi tiada pakar boleh mengendalikan kes anaknya.

Dia meminta surut rujukan memanjangkan kes anaknya ke HKL dan diberi rundingan pakar berkenaan mengenai pilihan yang ada serta kesan yang mungkin dihadapi olehnya jika mendermakan sebahagian hatinya.

“Pihak HRPB memaklumkan hanya Hospital Selayang mempunyai kepakaran menyelesaikan kes anaknya, tetapi dimaklumkan pakar berkenaan sedang bercuti panjang.

“Perkara yang membelenggu saya ketika ini ialah masa kerana semakin lama keadaan anak semakin teruk. Jalan terbaik menyegerakan pembedahan kerana tidak sanggup melihat anak terseksa,” katanya.

Nasib malang yang menimpa Mohd Aril Zafran turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk isteri Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) Datin Seri Saripah Zulkifli, yang sebak hingga menitiskan air mata ketika mengunjungi dan menyaksikan sendiri keadaan bayi itu di rumahnya di Taman Desa Pelancongan, Lahat, di sini, semalam.

Ketika kunjungan itu, keluarga berkenaan menerima sumbangan RM23,000 iaitu masing-masing RM10,000 disumbangkan kerajaan negeri dan BAIDURI selebihnya sumbangan Baitulmal melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebagai bantuan awal.

Kunjungan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Rusnah Kassim.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mengumumkan pemberian bantuan bulanan RM300 kepada keluarga berkenaan mulai bulan hadapan.

Sementara, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur yang diwakili Setiausahanya, Basri Mohd Noor, turut menyampaikan bantuan RM1,000 kepada keluarga berkenaan.

Disiarkan pada: January 22, 2015 @ 10:01am
d