mutakhir

Sekat banduan IS sebar ideologi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Banduan yang dipenjarakan atas kesalahan terbabit dengan Kumpulan Militan Negara Islam (IS) terpaksa diasingkan bagi mengelak mereka mempengaruhi dan menyebarkan ideologi IS kepada banduan lain.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengesan ada banduan berkenaan didapati cuba mempengaruhi banduan lain untuk jadi pengikut mereka.

Beliau berkata, banduan itu tidak akan dicampurkan dengan banduan bagi kesalahan jenayah lain kerana dikhuatiri menyebarkan ideologi dan melatih banduan lain untuk berpotensi dijadikan bakal pengganas.

“Kami bimbang apabila ada banduan yang keluar dari penjara sudah ditukar pemikiran dan ideologi mereka untuk menyertai IS.

“Buat masa ini, seramai 120 banduan berkenaan sudah ditempatkan di dua penjara berasingan masing-masing di Penjara Tapah, Perak dan Penjara Bentong, Pahang,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Penolong Setiausaha Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Jabatan Negara Amerika Syarikat Daniel R Russel di pejabatnya di sini semalam.

Katanya, banduan berkenaan akan diasingkan di bangunan dan sel berasingan daripada banduan lain di dua penjara berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga menyediakan pakar tertentu bagi mendekati banduan ini bertujuan mengubah cara pemikiran mereka.

Menurutnya, pihaknya mendapati, kumpulan banduan ini mempunyai kepercayaaan dan keyakinan berbeza selain mempunyai semangat tegar untuk berjuang dan berjihad di Syria dan Iraq.

“Pakar ini sudah pun mendekati kumpulan banduan terbabit malah, mereka berpengalaman dari segi keagamaan dan ideologi untuk mengubah banduan itu supaya menjadi nuetral di dalam pegangan dan tidak terus terpesong,” katanya.

Katanya, setakat ini, sudah ada banduan yang berjaya dipulihkan malah, pihaknya turut meminta kerjasama banduan yang sudah pulih itu untuk memulihkan rakan yang lain.

Ahmad Zahid berkata, sehingga kini, masih terdapat 67 rakyat tempatan yang dikesan berjuang di Syria tidak termasuk lima yang terbunuh sebelum ini.

Katanya, daripada pengamatan dibuat pihaknya, kebanyakan rakyat tempatan yang berjaya pulang ke tanah air selepas berjuang di Syria menyesali perbuatan mereka selain merasa tertipu dengan janji dibuat pihak tertentu sebelum mereka bergerak ke negara itu.

“Siasatan mendapati, kebanyakan mereka terdorong untuk menyertai kumpulan militan itu selepas terpengaruh dengan ajakan di Internet selain memenuhi komitmen kawan yang berjihad di sana.

“Ada juga wanita yang kononnya yang mahu mengikut suami menjadi pejuang di negara berkenaan mengakui menyesal kerana kehidupan di sana tidak seindah sebagaimana digambarkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berurusan dengan Wisma Putra berhubung proses untuk ekstradisi Koperal Sirul Azhar.

Menurutnya, kementerian akan memberi kerjasama menerusi PDRM bagi mempermudahkan sebarang urusan.

“Dalam hal ini, urusan berkenaan diserahkan kepada PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk berbincang dengan pihak kerajaan Australia menerusi Wisma Putra,” katanya.

Sirul Azhar dijatuhi hukuman gantung selepas didapati salah membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Mengulas mengenai pertemuan singkat bersama Daniel semalam, Ahmad Zahid berkata, pihaknya sudah mengambil maklum mengenai keperluan Amerika Syarikat berkaitan isu pemerdangangan orang malah, kerajaan sendiri sudah mengambil langkah termasuk membuat pindaan undang-undang berkaitan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyedudupan Migran 2007 (ATIP-SOM).

“Selain itu, wujud juga kerjasama antara Malaysia dan Amerika Syarikat berhubung isu berkenaan dan ada mangsa pemerdagangan orang yang diberi pekerjaaan di negara ini, dengan empat orang mangsa sudah ditawarkan bekerja di sebuah hotel milik syarikat Amerika Syarikat di sini,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2015 @ 9:00am
d