mutakhir

Enggan kenang takdir

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: “Kalau inilah suratan takdir, saya reda dengan segala percaturan ditetapkan Allah SWT. Saya tidak akan menoleh ke belakang lagi, sebaliknya mahu meneruskan sisa hidup,” kata Abdul Karim Ali, 55, bekas seorang anggota tentera yang separuh badannya diserang strok dan tinggal di sebuah pondok buruk di Jalan Sikamat, berhampiran Taman Megaway, di sini.

Abdul Karim yang sudah tiga minggu mendiami pondok berkenaan difahamkan hidup merempat di daerah itu sejak dua tahun lalu selepas bercerai dengan isterinya.

Kehidupan sukar dilaluinya menjadi viral di aplikasi Whatssup dengan kebanyakan orang ramai meminta insan malang itu dibantu.

Abdul Karim ditemui di pondok berkenaan, semalam, berkata, kehidupan bahagia dinikmati bersama bekas isteri dan empat anaknya berubah selepas dia tamat perkhidmatan dalam tentera dan mengusahakan perniagaan kasut terpakai.

Katanya, hanya beberapa tahun perniagaan dijalankan, perusahaan itu musnah apabila ditipu pembekal membabitkan ratusan ribu ringgit.

“Ketika itu, saya memiliki empat anak dan terpaksa mencari pekerjaan lain untuk menampung keluarga.

“Namun, dua tahun lalu saya sudah tidak mampu mendapatkan pekerjaan menyebabkan rumah tangga punah,” katanya yang sebelum ini tinggal di rumah milik isterinya di Taman Megaway.

Katanya, pada 2013, isterinya meminta cerai akibat masalah kewangan menyebabkannya hidup merempat di stesen bas, projek perumahan terbengkalai dan kaki lima di premis perniagaan.

Menurutnya, lebih menyedihkan tiga daripada empat anaknya yang bekerja sebagai juruteknik, pegawai bank dan kakitangan sebuah syarikat penerbangan didakwa tidak mempedulikannya hingga terpaksa membina sebuah pondok buruk di tepi jalan.

“Saya tidak menyangka kehidupan bahagia dulu berubah. Saya tidak tahu ke mana mahu pergi melainkan mengutip zink dan kayu terpakai untuk membina pondok ini.

“Saya memilih membina pondok di sini kerana mahu melihat anak-anak berikutan lokasi ini hampir dengan rumah bekas isteri,” katanya.

Menurutnya, keadaan lebih tenat apabila separuh badannya diserang strok dua tahun lalu.

Abdul Karim berasal dari Kuala Terengganu berkata, dia hanya mengharapkan ihsan orang ramai dan kadangkala tidak membuat bayaran ketika makan di kedai makan.

Katanya, dia juga pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tiada maklum balas.

Bekas isteri Abdul Karim, mahu dikenali Salmah, 40-an ditemui mengakui sudah bercerai dua tahun lalu namun menafikan empat anaknya tidak mempedulikan bapa mereka.

Katanya, sekiranya terserempak dengan Abdul Karim, tiga anaknya yang bekerja akan menghulurkan RM10 setiap seorang dan setiap bulan sebanyak RM200 diperuntukkan kepada bapa mereka.

“Mungkin anak-anak tidak rapat dengan Abdul Karim kerana sewaktu kecil, mereka juga diabaikan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: January 23, 2015 @ 9:05am
d