mutakhir

Sistem lebih efisien

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Berbaki kira-kira dua bulan lagi, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 16 peratus akan dimansuhkan dan digantikan dengan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar tetap enam peratus saja.

Ini bermakna, pengguna tidak lagi dibebani dengan dua cukai berganda sebelum ini yang dikenakan ketika membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan sebanyak 16 peratus yang kadangkala tidak disedari berikutan tidak dikemukakan dalam bil atau resit pembelian.

Bagaimanapun, isu GST ini membangkitkan persepsi negatif dan kebimbangan kepada segelintir pengguna kerana kekurangan maklumat serta mendapat maklumat yang salah berkaitan pelaksanaan GST.

Ada yang beranggapan, pelaksanaan GST akan membebankan mereka sedangkan tujuannya adalah memperbaiki kelemahan dan menyusun semula sistem percukaian negara supaya lebih berkesan, saksama, efisien dan telus di samping tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat serta membebankan kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah.

Malah, keberkesanan GST yang diiktiraf sebagai struktur percukaian baik, menyeluruh dan efisien terbukti apabila sebanyak 160 negara di dunia sudah melaksanakannya.

Justeru itu, kerajaan masih ada masa melipatgandakan usaha memberi pemahaman yang lebih mudah dan ringkas berbanding terlalu teknikal kerana sukar difahami rakyat terutama mereka yang menetap di kawasan luar bandar.

Selain itu, penguatkuasaan juga perlu diperluaskan supaya tiada pihak terutama peniaga berlindung di sebalik GST untuk menaikkan harga secara tidak wajar dengan menafikan hakikat setiap barangan dan perkhidmatan mempunyai hak untuk dikurangkan ketika pelaksanaan cukai ini.

Disiarkan pada: January 23, 2015 @ 9:11am
d