mutakhir

Dilarang masuk

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Kuala Kangsar: Larangan kenderaan berat memasuki Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada waktu petang khususnya ketika waktu puncak antara jam 4 hingga 6 petang bakal dikuatkuasakan Projek Lebuhraya Usahasama Bhd (PLUS Bhd).

Ia bagi memastikan kemalangan membabitkan kenderaan berat dikurangkan, selain melancarkan aliran trafik ketika waktu puncak dengan lebih baik.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Bhd Muhammad Fuad Khusairi berkata, pihaknya mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan terlebih dulu selepas mengkaji kesannya kepada pengguna lebuh raya.

“Kami akan lihat kesannya terlebih dahulu sebelum mengemukakan cadangan dan keputusan sama ada dilaksanakan atau tidak, bergantung kepada kerajaan.

“Larangan kenderaan berat menggunakan NKVE antara jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi sudah dilaksanakan,” katanya ketika diminta mengulas cadangan yang boleh dilaksanakan PLUS Bhd, pengendali Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Muhammad Fuad berkata demikian selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin meninjau pemasangan lampu limpah LED di kawasan dikenalpasti berbahaya sepanjang lebuh raya berkenaan di sini semalam.

Menurut Muhammad Fuad, PLUS turut membuat pemantauan serta rondaan 24 jam sehari membabitkan 150 pasukan peronda dengan 20 daripadanya membuat rondaan berkala pada satu-satu masa.

“Kita memang ada KPI (petunjuk prestasi utama) dan perlu membuat rondaan berterusan serta juga mengutip barang yang bertaburan di atas lebuh raya bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin.

“Tahun lalu, 15,100 objek dikutip PLUS dan kontraktor penyelenggaraan PLUS di sepanjang lebuh raya dan daripada jumlah itu, 41 peratus adalah serpihan tayar celup lori manakala lebih 600 lagi bongkah kayu, besi, sampah dan lain-lain,” katanya.

Hang Soon berkata, pihaknya menjangka pemasangan lampu jalan LED tambahan di Kilometer (KM) 303 hingga KM 306.1 berhampiran Gua Tempurung kedua-dua arah dan di KM256 hingga KM260.9 bernilai RM13 juta akan membantu melancar serta mengurangkan kemalangan di lokasi berkenaan.

Disiarkan pada: January 24, 2015 @ 5:30am
d