mutakhir

Meter elektrik berapi

Tampin: “Saya sedang memerah santan di dapur apabila terdengar letupan dari arah depan rumah dan menyangka menantu sedang menonton televisyen,” kata R Asotha yang rumahnya di Felda Bukit Rokan, Gemencheh, dekat sini, musnah terbakar kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Menurutnya, sejurus mendengar letupan itu, dia meluru ke ruang tamu dan terkejut melihat api pada meter elektrik di depan rumah dan menjerit memanggil menantunya, R Nagajothi, 33.

“Saya menjerit beberapa kali sebelum menantu muncul dan memberitahu dia ke rumah saudara di sebelah rumah menghantar barang.

“Ketika itu api marak disertai kepulan asap tebal memenuhi bahagian depan rumah,” katanya yang berlari keluar bersama menantunya.

Asotha, 60, berkata, api marak cepat dan merebak ke seluruh rumah yang berusia lebih 40 tahun itu menyebabkan tiada barangan termasuk dokumen peribadi dapat diselamatkan.

“Bahagian tepi rumah yang dijadikan kedai runcit turut hangus. Saya sangat terkejut dan sedih dengan kejadian ini,” katanya.

Suaminya, B Balaraman, 68, yang pergi menoreh getah, hanya tergamam sebaik sampai di rumah.

Katanya, selain barang kemas dan wang tunai, kereta Toyota Hilux termasuk motosikal jenis Yamaha RXZ milik anak lelaki, Jayaganesh, 38, di garaj turut musnah.

“Saya anggarkan kerugian RM200,000 dan buat masa ini kami menumpang di rumah saudara,” katanya.

Ketua Balai Bomba Gemas Penolong Penguasa Bomba Syed Ammar Syed Abas ketika dihubungi berkata, sejurus menerima panggilan, pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 12.35 tengah hari dan berjaya mengawal api 10 minit kemudian. Operasi tamat pada jam 1.22 petang dan kebakaran membabitkan rumah peneroka rumah jenis separuh kekal dan kemusnahan seratus peratus,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2015 @ 5:32am
d