mutakhir

Kehilangan besar

Oleh BERNAMA

Davos: Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz adalah pemimpin yang berwawasan dan kepemimpinannya sangat berkesan dalam memajukan Arab Saudi menjadikan kemangkatan baginda satu kehilangan besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, sewaktu Almarhum Raja Abdullah menjadi ketua kerajaan Arab Saudi, negara itu berkembang dengan begitu pesat.

“Sewaktu Almarhum Raja Abdullah menjadi raja kerajaan Arab Saudi, hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi berkembang dengan pesat.

“Keakraban kedua-dua negara tidak dapat disangkal dan dapat kita lihat melalui pelbagai bidang kerjasama yang semakin erat.

“Di samping itu, segala kemudahan diberikan kepada jemaah haji sangat dihargai kerajaan Malaysia,” kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini sebelum bergerak ke Zurich untuk menaiki penerbangan ke Riyadh, Arab Saudi, tengah hari semalam (waktu tempatan).

Perdana Menteri membatalkan semua programnya di Forum Ekonomi Dunia (WEF) bagi menyampaikan ucapan takziah dan memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor berlepas ke Riyadh, Arab Saudi jam 12 tengah semalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich.

Raja Abdullah mangkat awal pagi semalam pada usia 90 tahun.

Adinda baginda, Putera Salman Abdulaziz dinamakan sebagai raja yang baru.

Disiarkan pada: January 24, 2015 @ 5:53am
d