mutakhir

Semua layan!

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Petaling Jaya: Kegiatan sebuah pusat hiburan di Bandar Sunway yang menyajikan puluhan wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang kemudian boleh dibawa ke ranjang terbongkar selepas diserbu awal pagi semalam.

Pihak berkuasa menjalankan intipan selama seminggu di pusat berkenaan sebelum serbuan dijalankan.

Serbuan dilakukan seramai empat pegawai dan 15 anggota Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman bermula jam 1.30 hingga 4.30 pagi.

Ketua Operasi Asisten Superintendan Davidson Tanggapan berkata, seramai 66 wanita iaitu 64 warga Thailand dan dua warga Kemboja ditahan dalam operasi terbabit.

“Ketika serbuan, terdapat 92 pelanggan berada di premis berkenaan dipercayai sedang berhibur bersama puluhan wanita terbabit.

“Premis ini turut melanggar syarat apabila menjalankan operasi melebihi waktu yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, wanita asing juga turut dikesan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Hasil pemeriksaan, kami juga merampas 60 selempang yang dipercayai digunakan sebagai ‘tanda’ harga kepada pelanggan yang ingin melanggan wanita berkenaan.

“Semua GRO itu menawarkan khidmat seks dengan harga dari RM150 hingga RM600 untuk sekali perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, semua wanita berusia 19 hingga 27 tahun itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: January 25, 2015 @ 8:32am
d