mutakhir

47 penuntut UiTM sertai misi banjir

Kota Samarahan: Seramai 47 penuntut dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sarawak menyertai misi bantuan banjir di Kampung Endap, di sini, yang terjejas akibat banjir berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat sejak Ahad lalu.

Menerusi misi itu, penuntut terbabit menjalankan gotong-royong membersihkan persekitaran kediaman mangsa banjir yang terjejas akibat bencana itu selepas air mula surut kelmarin.

Penuntut Fakulti Perakaunan, Brescia Carrera, 20, berkata, dia terpanggil untuk menyertai kerja sukarela itu bagi membantu meringankan beban penduduk, selain simpati dengan nasib mereka yang kehilangan harta benda.

“Walaupun pertama kali melakukan kerja seperti ini, ia memberi pengalaman cukup bermakna buat saya apabila melihat sendiri kesusahan penduduk yang ditimpa banjir,” katanya di sini, semalam.

Selain pembabitan penuntut berkenaan dalam misi bantuan itu, ia turut disertai sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Samarahan, Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Ikatan Relawan Sarawak dan kakitangan Majlis Daerah Samarahan (MDS).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Endap Awang Mohamad Awang Jamel berkata, banjir kali ini adalah yang terburuk dialami penduduk kampung.

“Ia bagaikan satu mimpi ngeri bagi penduduk di kampung ini kerana air naik dengan mendadak menyebabkan penduduk tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2015 @ 8:36am
d