mutakhir

IKWAM sedia bantu salur bantuan banjir

Kuantan: Institut Kemajuan Wanita Malaysia (IKWAM) bersedia membantu pihak tertentu menyampai dan mengagihkan bantuan pendidikan dan kebajikan kepada mangsa banjir khususnya golongan wanita dan kanak-kanak di negeri yang terjejas dalam musibah itu, baru-baru ini.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman berkata, IKWAM mengemaskini maklumat berkaitan senarai mangsa banjir yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak yang memerlukan bantuan sewajarnya.

Katanya, bantuan yang disalurkan menerusi IKWAM disampaikan secara sistematik bagi memastikan kumpulan sasar menerima bantuan selain mengelak berlakunya ketirisan nanti.

“Sebagai badan sukarela yang ditubuhkan sejak 1987, sudah pasti kami menggunakan segala pengalaman dan kepakaran dimiliki bagi memastikan setiap bantuan disalurkan sampai ke sasaran ditetapkan.

“Kami sentiasa menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan juga agensi berkaitan memastikan keberkesanan setiap program yang dianjurkan seterusnya memberi kesan kepada masyarakat.

“Kami juga sedia menjadi pemudah cara antara kerajaan dan masyarakat dalam usaha mendekati kumpulan sasar dikenal pasti supaya tidak berlaku ketirisan ketika proses pengagihan bantuan,” katanya, selepas merasmikan Program Titian Kasih Fasa Pertama di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah IKWAM Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching Datuk Zaili Besar.

Pada majlis itu, 500 ketua keluarga menerima pelbagai bantuan keperluan asas hasil sumbangan IKWAM dan badan korporat lain.

Disiarkan pada: January 25, 2015 @ 8:53am
d