mutakhir

Bina 20 telaga tiub

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Pasir Mas: Media Prima Berhad (MPB) memperuntukkan RM200,000 daripada Tabung Bencana NSTP-Media Prima untuk pembinaan 20 telaga tiub di sekolah yang terjejas banjir.

Program yang mendapat kerjasama Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) itu mensasarkan 20 sekolah membabitkan lima daerah yang terjejas teruk ketika bencana banjir dan terputus bekalan air bersih, baru-baru ini.

Lima daerah terbabit adalah Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang dan Machang.

Pengerusi MPB Tan Sri Johan Jaaffar berkata, pelaksanaan projek telaga tiub adalah tanggungjawab sosial korporat konglomerat media itu dengan sumbangan ramai pihak untuk membantu mangsa bencana banjir bagi mendapatkan sumber air bersih.

Katanya, setiap pembinaan projek telaga tiub membabitkan nilai antara RM8,000 dan RM10,000.

“Dengan adanya telaga tiub ini saya berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu mangsa banjir mendapatkan bekalan air bersih.

“Terima kasih kepada Fakulti Sains UM kerana menyahut seruan kita untuk membantu sekolah yang terjejas teruk ketika banjir,” katanya.

Sempena lawatan itu, Johan turut melawat dua sekolah yang terbabit dengan program pembinaan telaga tiub itu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Emas dan SK Datuk Abdul Hamid (2) Pasir Mas selain turut meluangkan masa 30 minit melihat program pemeriksaan kesihatan kerjasama MPB dan UM kepada mangsa banjir di surau Taman Barakah, Tanah Merah.

Johan turut berterima kasih kepada pihak yang bermurah hati menyumbang kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima.

Sementara itu, Ketua Jabatan Geologi Fakulti Sains UM Prof Madya Dr Ismail Yusoff berkata, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu bersedia untuk berkongsi kepakarannya dalam bidang geologi bagi membantu membekalkan sumber air bersih kepada mangsa banjir.

Katanya, telaga tiub yang digali mampu membekalkan 1,800 liter air per jam.

“Kerja penggalian telaga itu dijangka siap pada 3 Februari ini,” katanya.

Disiarkan pada: January 25, 2015 @ 8:54am
d