mutakhir

Serah kertas siasatan kepada pendakwa raya

Kuala Lumpur: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kes membabitkan vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah, baru-baru ini, kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan lanjut.

Penyanyi berusia 43 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis dari Balai Polis Hulu Kelang, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi semalam dan dibawa pulang seorang ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad mengesahkan perkara itu dan berkata, penyanyi berkenaan sebelum ini direman selama beberapa hari atas kesalahan memiliki sejumlah dadah dan siasatan kes terbabit sudah dilengkapkan.

“Kita sudah menghantar kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya yang mempunyai kuasa untuk keputusan atau proses susulan,” katanya ringkas ketika dihubungi Metro Ahad.

Zamani ditahan polis bersama seorang wanita berusia 32 tahun kerana disyaki memiliki dadah jenis heroin seberat 1.2 gram di sebuah rumah di Taman Keramat, Ampang kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu lalu.

Difahamkan, pemeriksaan di bilik penyanyi itu membawa kepada penemuan plastik berisi dadah berkenaan yang terletak di atas tilam dan hasil ujian air kencing ke atasnya turut didapati positif dadah.

Disiarkan pada: January 25, 2015 @ 9:11am
d