mutakhir

Berenang perut memboyot

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

Kuala Krai: “Mok Su pernah berenang dalam air bah untuk selamatkan diri selepas bot penduduk lambat tiba dan ketika itu Mok Su mengandung tujuh bulan.

“Itu ketika banjir dulu, sekitar 1982. Rasanya kini, tak ramai boleh buat demikian,” kata Mok Su atau nama sebenarnya Hasnah Harun, 63.

Mok Su penduduk tetap Kampung Biak, Dabong, di sini bercerita mengenai kisahnya berdepan banjir lebih 30 tahun dulu dan terkini, Disember lalu.

Katanya, lokasi perkampungan itu yang jauh di pedalaman menyukarkan pasukan penyelamat untuk tiba awal, malah perkara itu turut dimaklumi penduduk kampung sejak dulu lagi.

“Setiap kali banjir pun memang kami penduduk kampung yang berpakat menyelamatkan satu sama lain kerana pasukan penyelamat akan lambat disebabkan lokasi kampung ini yang jauh di pedalaman.

“Mok Su duduk sini sejak kampung dibuka, rasanya sekitar 1965. Memang sejak dulu penduduk sini tak ramai sehingga sekarang ada lebih 400 orang, kami sentiasa bersatu-padu.

“Lebih-lebih lagi apabila musibah banjir bertandang, masing-masing akan saling membantu dan pastikan semua dalam keadaan selamat dan dipindahkan.

“Itulah kisah paling Mok Su ingat ketika banjir 1982 Mok Su berenang sendiri dalam jarak 500 meter disebabkan bot penduduk yang nak ambil tu lambat tapi sekarang tak boleh buat begitu lagi sebab banjir sekarang luar biasa,” katanya.

Menurutnya, menjadi wanita Kampung Biak memerlukan dia berhati cekal kerana kemudahan di situ tidak seperti kampung moden lain di kawasan bandar.

Katanya, disebabkan kecekalan itu mereka mampu hidup harmoni dan tidak terganggu apabila diuji bah besar seperti 22 Disember lalu.

“Siapa tak sedih jika barang dan ada orang kampung kediamannya musnah. Tetapi kita kena teruskan hidup dan itulah yang kami lakukan kini,” katanya ditemui bergotong-royong bersama penduduk kampung untuk sambutan Maulidur Rasul.

Disiarkan pada: January 26, 2015 @ 7:09am
d