mutakhir

Transformasi tingkat standard pendidikan

Putrajaya: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang antara lain bertujuan mentransformasi dan meningkatkan standard pendidikan tinggi negara, dijangka diumum Mac depan.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Prof Datuk Dr Asma Ismail berkata ketika ini, pihaknya menyediakan draf pelan berkenaan.

“Kita (kementerian) masih mengadakan sesi dialog dengan pihak berkepentingan termasuk orang awam untuk mengemukakan sebarang idea dan cadangan bagi dimasukkan dalam pelan itu.

“Pelan ini menentukan bentuk graduan yang kita mahu lahirkan, selain menggilap bakat pelajar dan juga pensyarah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa bertajuk ‘Decolonisation, Leadership and Knowledge Democracy In The 21st Century University’ (Penyahjajahan, Kepimpinan dan Demokrasi Ilmu Pengetahuan Dalam Abad Ke-21) di Kampus Universiti Nottingham Malaysia, Semenyih dekat sini, semalam.

Ditanya mengenai keperluan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mempunyai ranking dunia yang baik, Asma berkata, isu itu perlu dilihat secara lebih menyeluruh.

“Ranking ini ada banyak cara, bukan hanya akademik, tetapi juga rangking yang baik daripada aspek disiplin, itu lagi penting,” katanya.

Dalam pada itu, Asma menggesa IPT awam dan swasta di negara ini menjalin kerjasama lebih erat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global ketika ini yang turut memberi kesan kepada Malaysia.

“Para intelektual, marilah kita menjadi penyedia penyelesaian bagi membantu industri dan masyarakat terus bergerak maju,” katanya.

Persidangan antarabangsa dua hari itu yang bermula hari ini bertujuan mewujudkan kepimpinan intelektual untuk mempromosi pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan yang memacu pendidikan universiti di negara ini.– BERNAMA

Disiarkan pada: January 26, 2015 @ 7:11am
d