mutakhir

Salur RM200,000 baik pulih 20 masjid

Kota Bharu: Media Prima Berhad (MPB) memperuntukkan RM200,000 daripada Tabung Bencana NSTP-Media Prima untuk membaik pulih 20 masjid di kawasan terjejas banjir di seluruh negeri ini.

Pengurus Besar Pejabat Pengerusi MPB Shariman Zainal Abidin berkata, setiap masjid memperoleh RM10,000 yang disalurkan terus kepada ahli jawatankuasa masjid untuk proses membaiki dan membeli peralatan rosak.

“Kita harap sumbangan ini dapat meringankan beban dan membaiki kerosakan,” katanya masjid berkenaan dipilih MPB bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Tabung Bencana NSTP-Media Prima di Istana Kota Lama, di sini, semalam.

Cek berkenaan disampaikan Pengerusi MPB Datuk Johan Jaaffar kepada Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra yang juga Yang Dipertua MAIK.

Hadir sama, Pengurus Acara dan Hubungan Kerajaan Kumpulan MPB Norida Sabri serta Penasihat Khas Kepada Yang Dipertua MAIK Datuk Nik Kamaruddin Ismail.

Sementara itu, Nik Kamaruddin berkata, sumbangan terbabit akan digunakan untuk membeli peralatan yang rosak termasuk membeli permaidani dan PA sistem.

“Masjid yang terjejas akan dibaik pulih kerana ada sebahagiannya langsung tidak boleh digunakan,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2015 @ 7:27am
d