mutakhir

Kunjungan bagai rahmat

Bota: "Kehadiran pasukan Harian Metro bagaikan rahmat buat saya sekeluarga selepas diuji pelbagai dugaan sepanjang banjir," kata Anjang Ahmad Hasan, 73.

Anjang dari Kampung Tua, di sini, berkata, selepas kampungnya dilanda banjir pada 24 Disember lalu persekitaran rumah tidak terurus dan berselerak.

Menurutnya, lebih 10 tahun menetap di kampung itu, ia adalah kejadian terburuk pernah berlaku.

"Memang ada kejadian banjir dua atau tiga kali sebelum ini, namun tidak seteruk bulan lalu.

"Paras air naik sehingga satu meter tetapi mujur penduduk kampung datang membantu menyelamatkan kami sekeluarga," katanya yang tinggal bersama isteri Halijah Abu Hasan, 60, dan seorang anak lelaki berusia 30-an.

Lebih menyedihkan, isterinya yang menghidapi penyakit strok masih menjalani rawatan di Hospital Changkat Melintang dekat sini.

Nasib malang yang menimpa Anjang turut mendapat perhatian pasukan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Misi Bantuan Banjir yang berkampung selama dua hari untuk melihat dengan lebih dekat dan membantu mangsa banjir di daerah Perak Tengah.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar turut serta membersihkan kediaman keluarga terbabit yang dilanda banjir.

Hadir sama Pengarang Eksekutif Edisi Hujung Minggu Rencana Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat dan Pengerusi Perayaan 50 tahun Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Mohd Fizol Mohd Saad.

Disiarkan pada: January 26, 2015 @ 7:42am
d