mutakhir

Jangan cepat salah faham

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: “Penghuni madrasah atau pondok moden hari ini bukan dibuang keluarga sebaliknya atas keinginan sendiri untuk mendalami agama.

“Jadi, kita (masyarakat) jangan salah faham mengenai penghuni pusat pembelajaran seperti itu dan mereka sepatutnya diberi sokongan sepenuhnya,” demikian kata penceramah bebas terkenal Ustaz Kazim Elias berhubung kewujudan madrasah moden yang kini semakin menjadi tumpuan ramai.

Jumaat lalu Harian Metro menyiarkan artikel mengenai kewujudan sebuah madrasah moden, Kompleks Yayasan Al-Jenderami di Sepang yang dibina bagi membolehkan warga emas beribadat dan mendalami pengajian agama dengan sepenuhnya.

Kompleks itu diasaskan Sheikh Mohd Hafidz Selamat merangkap Penasihat Yayasan Al-Jenderami serta dibangun melalui sistem wakaf Islam daripada pihak korporat dan orang awam.

Menurut Kazim, kebanyakan penghuni pusat pendidikan atau madrasah moden seperti itu bukan disisihkan keluarga dan anak masing-masing.

Sebaliknya, ia adalah usaha individu itu sendiri dalam mencari bekalan terbaik sebelum menemui pencipta-Nya.

Kazim berkata, berdasarkan pengalamannya mengasaskan Pusat Pendidikan Al Barakah di Ipoh, Perak sejak lapan tahun lalu, kebanyakan mereka yang membuat permohonan untuk memasuki pusat pendidikan berkenaan tidak mempunyai masalah kewangan dan memiliki keluarga yang sempurna.

Katanya, kebanyakan pemohon yang memohon memasuki pusat pendidikan agama seperti ini bukan calang-calang kerana ada di antara mereka dari kalangan keluarga diraja, golongan bangsawan, bekas ahli Parlimen dan pesara kerajaan.

“Mereka hadir atas inisiatif sendiri untuk mendalami agama meskipun ada di antara mereka sudah lanjut usia.

“Pusat pendidikan Al Barakah ini contohnya memang semakin mendapat perhatian dan kini, kami menerima lebih 700 permohonan yang berada dalam senarai menunggu,” katanya ketika dihubungi.

Jelas Kazim lagi, madrasah moden atau pusat pendidikan menjadi perhatian masyarakat hari ini kerana ia menyediakan pelbagai aktiviti sampingan serta kemudahan lengkap untuk beribadat.

Katanya, selain berpeluang menumpukan sepenuh tumpuan kepada agama, penghuni juga dapat bergaul dengan ramai rakan sebaya yang lain.

“Semua itu membuatkan mereka (penghuni) lebih seronok dan dapat mengisi masa yang ada dengan sebaiknya,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2015 @ 7:45am
d