mutakhir

Lemas selepas memancing

Shah Alam: “Sebelum kejadian, anak saya tidak mahu ikut walaupun berulang kali kami mengajaknya mengambil datuk yang juga bapa mentua saya di Klang,” kata Murni Nuar, 37, ibu kepada Muhammad Syubli Hillmi Mohd Fauzi, 12, kanak-kanak yang lemas di sebuah sungai di Seksyen U6, Denai Alam, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa bersama beberapa rakannya ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumahnya untuk memancing.

Menurut Murni, dia dan suami, Mohd Fauzi Md Sidek berulang kali mengajak Muhammad Syubli ke Klang, namun mangsa tidak mahu ke sana dan tinggal bersendirian di rumah.

“Saya tidak menyangka dia pergi sejauh itu memandangkan lokasi kejadian agak jauh dari rumah kami di Bukit Subang. Ketika kejadian, saya berada di Klang sebelum jiran menghubungi serta meminta saya supaya segera pulang.

“Jiran tidak memaklumkan kejadian ini sehinggalah kami tiba di sungai terbabit dan mendapat tahu kejadian sebenar,” katanya.

Menurutnya, mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Subang, dekat sini.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa dikatakan memancing bersama beberapa rakan di lokasi kejadian sebelum mengambil keputusan untuk mandi.

“Sungai ini memang menjadi lokasi memancing dan paras airnya kira-kira satu meter dan ia berbahaya untuk kanak-kanak terutama melakukan aktiviti memancing dan mandi,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya mendapat panggilan mengenai kejadian terbabit pada jam 3.26 petang.

“Selepas menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Mayat mangsa bagaimanapun ditemui orang awam yang berada di tempat kejadian sebelum kami tiba,” katanya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Disiarkan pada: January 26, 2015 @ 7:52am
d