mutakhir

Menyorok bawah lantai kayu

Jitra: Beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia sanggup menyorok di bawah lantai kayu yang sempit di sebuah rumah kongsi di Kubang Lembu, di sini, semalam, sebaik menyedari premis itu diserbu pihak berkuasa.

Dalam serbuan pada jam 9.30 malam, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dalam Ops Cantas Khas Utara Bersepadu yang tertumpu untuk menahan PATI yang tinggal secara haram, di sini.

PATI terbabit sanggup berhimpit bagi mengelak dicekup kerana tidak mempunyai sebarang dokumen sah. Ada PATI yang sanggup bersembunyi dengan hanya berseluar dalam di bawah lantai kayu itu sebelum diarahkan keluar untuk menjalankan pemeriksaan.

Berikutan itu, 53 PATI berusia antara 17 tahun hingga 50-an yang tidak mempunyai dokumen ditahan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, serbuan itu dilakukan bersama Bukit Aman yang mengenal pasti beberapa kawasan yang dipercayai menjadi tumpuan PATI terutama di sekitar rumah kongsi yang menjadi ‘port’ mereka bekerja.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diterima, anggota pasukannya bersama IPK Kedah membuat risikan sejak tiga bulan lalu.

“Kami menjalankan serbuan di tiga kawasan iaitu di rumah kongsi belakang stesen minyak di Kubang Lembu, Tapak Pembinaan di Taman Belimbing dan Taman Jelutong di Changlun, dekat sini.

“Operasi ini bermula pada jam 9.30 hingga 12 tengah malam membabitkan empat pegawai dan 60 anggota polis dari IPD Kubang Pasu serta D9 yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu Asisten Superintendan Mohd Nor Fadzli Mohd Hashim,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2015 @ 8:34am
d