mutakhir

Patah cubaan seludup dadah RM62.19j

Nilai: Hasil risikan, pemantauan berterusan dan kawalan ketat anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membolehkan agensi itu membanteras kegiatan penyeludupan dadah dengan berkesan, malah merekodkan 10 peratus peningkatan rampasan pada tahun lalu berbanding 2013.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya mematahkan cubaan penyeludupan dadah seberat 347.46 kilogram bernilai RM62.19 juta berbanding 317.18 kilogram dadah dengan nilai RM46.53 juta yang dirampas pada tahun sebelumnya.

“Sehubungan itu, rampasan kami (JKDM KLIA) meningkat 10 peratus dengan peningkatan nilai 33 peratus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-33 di Auditorium Ahmad Noordin di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, di sini, semalam.

Menurut Chik Omar, pada 2012, sebanyak 237. 88 kilogram dadah dirampas pihaknya dengan nilai RM36.52 juta.

“Rampasan pelbagai jenis dadah ini dan nilai setiap tahun semakin meningkat dan kejayaan ini berikutan kawalan ketat kami,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, tahun lalu, hanya 33 kes disiasat pihaknya berbanding 60 kes pada 2013 dan 60 kes pada 2012.

“Pada tahun lalu, 24 orang yang ditahan dihadapkan ke mahkamah berbanding 53 orang pada 2013 dan 67 pada 2012,” katanya.

Chik Omar berkata, antara modus operandi sering digunakan suspek untuk membawa masuk ke negara ini ialah menyembunyikannya dalam bagasi, kasut dan pakaian.

Disiarkan pada: January 27, 2015 @ 8:40am
d