mutakhir

174 hektar sudah dibersih

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Seluas 174.9 hektar tanah pertanian yang diceroboh peneroka haram di Cameron Highlands, Pahang dibersihkan setakat ini menerusi siri penguatkuasaan dilakukan pihak berkuasa.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Mengenai Isu Cameron Highlands, di sini, semalam.

Muhyiddin berkata, kawasan yang dibersihkan itu membabitkan 7.7 peratus daripada keseluruhan 2,232 hektar tanah yang diceroboh peneroka haram di kawasan peranginan bukit tinggi itu.

Menurutnya, data tanah yang diceroboh itu diperolehi menerusi Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) sebelum diselarikan dengan data yang disimpan di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

“Kami akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan dan pembersihan tanah biarpun wujud pelbagai isu yang perlu difahami terlebih dahulu.

“Aktiviti penguatkuasaan bukan satu tindakan mudah untuk dilakukan, namun kami tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan bagi mengelak Cameron Highlands musnah,” katanya.

Muhyiddin berkata, pihak penguatkuasa memerlukan kerjasama daripada semua agensi termasuk polis dan tentera bagi memudahkan kerja penguatkuasaan.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu Pejabat dan Daerah Cameron Highlands menyediakan aset dan jentera bagi melancarkan kerja penguatkuasaan kerana ia membabitkan kawasan yang luas.

Menurutnya, sebahagian daripada kos pembiayaan aset dan jentera itu ditampung menerusi Tabung Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Dalam pada itu, kerajaan negeri berpendapat sebahagian daripada peneroka haram di kawasan itu dianggap layak untuk diberikan lesen menduduki sementara (TOL) bagi meneruskan tanaman.

“Atas sebab tertentu, sebahagian peneroka haram diizinkan meneruskan aktiviti tanaman mereka selagi tidak bercanggah dengan peraturan alam sekitar,” katanya.

Katanya, pihaknya memberi tempoh sebulan kepada kerajaan Pahang untuk proses pengeluaran TOL itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, seramai 800 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas sepanjang aktiviti penguatkuasaan di Cameron Highlands dan tindakan undang-undang turut diambil terhadap mereka.

Menurutnya, tindakan berkenaan akan diteruskan termasuk menangkap pekerja asing yang terbabit menceroboh tanah haram bagi menjalankan aktiviti tanaman.

Sementara itu, katanya, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diberi masa enam bulan untuk meneliti semula pelan pembangunan tempatan bagi menentukan kelestarian pembangunan di Cameron Highlands.

Katanya, jabatan itu akan membuat kajian semula termasuk melakukan aktiviti pemuliharaan dan mencantikkan alam sekitar di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, aktiviti penguatkuasaan berjalan seperti biasa. Ia dilakukan bagi memastikan semua pelaksanaan dan aktiviti pembangunan semula tidak tertangguh.

“Kajian semula itu membabitkan aktiviti tanaman bunga, pembaikan kawasan hijau dan membaiki sistem perparitan dan sungai, malah kerajaan juga menyediakan RM40 juta bagi membaiki struktur Sungai Bertam bertujuan mengelak bencana banjir,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya menunggu keputusan daripada penduduk setempat termasuk ibu bapa dan guru bagi memindahkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley ke tapak baru.

Disiarkan pada: January 27, 2015 @ 9:13am
d