mutakhir

Didik jadi insan berguna

Kuala Lumpur: “Biarlah anak dirotan untuk tujuan mendidik supaya dewasa kelak akan menjadi insan berguna dan patuh kepada arahan ibu bapa,” kata Pensyarah Psikologi Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Intan Hashimah Mohd Hashi.

Beliau berkata, bagaimanapun ibu bapa harus memberi penjelasan berhubung tujuan sebenar tindakan merotan itu dilakukan supaya pemikiran anak-anak tidak terganggu.

Katanya, merotan kanak-kanak secara umumnya lebih banyak mendatangkan kesan negatif terutamanya terhadap institusi kekeluargaan sekiranya dilakukan secara berlebihan.

Menurutnya, tindakan merotan bukan sahaja meningkatkan risiko kecederaan dan penderaan, malah anak berkemungkinan akan menjadi lebih agresif dan bertingkah laku antisosial.

“Itu antara kesan negatif dalam konteks psikologi kanak-kanak. Bagaimanapun tidak dinafikan tindakan merotan juga memberi impak positif terutama untuk meningkatkan kepatuhan terhadap ibu bapa,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam perkembangan lain, Presiden Persatuan Peguam Syarie Johor Yunos Ismail dalam satu kenyataannya mendesak kerajaan supaya meneliti dengan lebih mendalam serta tidak terburu-buru untuk menggubal rang undang-undang baru yang antaranya memasukkan hukuman kepada ibu bapa yang merotan anak mereka.

“Hak ibu bapa harus diambil kira dan setiap undang-undang mesti mengikut acuan dan sosiobudaya masyarakat serta pandangan Islam selaku agama rasmi negara.

Disiarkan pada: January 27, 2015 @ 9:16am
d