mutakhir

Tuntut RM4,000 cinta ditolak

Kuala Terengganu: Tidak dapat menerima hakikat hubungan cinta yang dibina berakhir, seorang lelaki mengugut bekas kekasihnya membayar wang sebanyak RM4,000 sebagai ganti rugi ditanggungnya selama perhubungan mereka dalam kejadian di Kampung Serada Kepong, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, suspek berusia 20-an turut mengambil geran motosikal milik bapa wanita berusia 26 tahun sebagai cagaran untuk mengugut mangsa membayar wang seperti yang dimintanya.

Menurut sumber, suspek dipercayai bertindak sedemikian selepas mangsa memutuskan hubungan mereka kerana tidak tahan dengan sikap panas baran.

Katanya, tindakan itu menyebabkan suspek naik angin sebelum meminta mangsa memberikan wang sebanyak RM4,000 atas alasan sebagai ganti rugi sepanjang perhubungan mereka.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut mengambil geran motosikal milik ayah mangsa sebagai cagaran dan mengarahkan ganti rugi itu dibayar dalam masa empat hari.

“Suspek turut mengugut akan mengganggu kehidupan mangsa sekiranya dia gagal membayar wang berkenaan menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Ab Rafar yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Disiarkan pada: January 27, 2015 @ 9:41am
d