mutakhir

Pasangan OKU teruja membantu

Kuala Krai: Kekurangan diri tidak menjadi penghalang buat dua orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan untuk turun padang menyumbang barangan makanan serta keperluan asas kepada mangsa banjir di Kelantan baru-baru ini.

Berbekalkan sumbangan hampir RM4,000 yang dikumpul daripada individu cacat penglihatan seluruh Malaysia, Wan Zawawi Wan Mohamud, 34, memberanikan diri bersama isteri Hasnilmila Osman, 33, dengan menaiki van yang disumbangkan Persatuan Pembangunan Orang Buta Malaysia ke Kuala Krai dan Tanah Merah untuk bersama menyertai pasukan sukarelawan membantu mangsa.

Wan Zawawi berkata, dia dan isteri teruja untuk membantu dan setibanya di Kuala Krai mereka diberi peluang menyertai aktiviti sukarelawan Yayasan Salam Malaysia termasuk membersihkan sekolah dan rumah mangsa yang terjejas di Kampung Karangan.

“Penglihatan saya hanya dalam skala 1/10 saja sejak kecil. Sewaktu berada di Kuala Krai, jalan yang begitu teruk dan berlumpur nyata satu pengalaman baru buat saya. Saya juga berjalan dua kilometer untuk sampai ke rumah mangsa berikutan jalan tidak dapat dimasuki kenderaan,” katanya.

Pasangan suami isteri itu berazam membantu dan ke sana lagi Februari ini untuk menyerahkan al-Quran, sejadah dan barangan keperluan surau.

Disiarkan pada: January 27, 2015 @ 9:47am
d