mutakhir

Rania Charity Run kumpul dana mangsa bah

Kuala Lumpur: Terkesan dengan musibah banjir yang melanda negara baru-baru ini, Rania Marketing Sdn Bhd bersama Menara Kuala Lumpur (MKL) menganjurkan program Rania Charity Run bertujuan mengumpul dana bagi meringankan penderitaan mangsa bah, Sabtu ini.

Pengerusi Program Hazura Hashim Bani berkata, program amal itu berlangsung Sabtu ini dengan sasaran peserta melebihi 1,000 orang.

“Program amal ini mengutamakan sumbangan kewangan mangsa lebih memerlukan wang menggantikan kerosakan perkakas rumah serta perbelanjaan keluarga,”katanya.

“Wang dikumpulkan sebahagiannya diserahkan kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad-Media Prima Berhad dan selebihnya akan diuruskan pihak kami untuk diserahkan kepada mangsa banjir serta ahli Rania di Kelantan,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Turut hadir Pencetus Jutawan Rania Marketing Datin Muniroh Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif MKL Meor Shahril Anuar Ahmad Rathuan dan Penasihat Program Charity Run Datin Shazlina Sharfutheen.

Peserta berpeluang memenangi tiga hamper produk kecantikan dan kesihatan selain menaiki limosin milik Muniroh dan penginapan percutian dua hari dan satu malam di Natasya Resort, Cameron Highland.

Sementara itu, Meor Shahril Anuar berkata, sebagai tanda sokongan terhadap program amal itu, MKL akan memberi tawaran tiket pada harga istimewa kepada semua peserta untuk naik ke pelantar pemandangan.

“Harga istimewa itu diberi kepada peserta termasuk ahli keluarga yang mahu berkunjung ke MKL bermula Sabtu ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendaftar boleh menghantar nama melalui e-mel di raniacharityrun@gmail.com atau aplikasi WhatsApp di talian 013-2884671.

Disiarkan pada: January 27, 2015 @ 9:47am
d