mutakhir

Berputih mata RM60,000 lesap

Kajang: Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila wang yang dikeluarkan dari bank untuk membuat bayaran deposit pembelian rumah berjumlah RM60,000 lesap sebaik disamun tiga lelaki di persimpangan lampu isyarat Jalan Bangi, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 12.25 tengah hari itu, mangsa berusia 30-an baru mengeluarkan wang tunai di sebuah bank di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, dekat sini.

Difahamkan, selepas membuat pengeluaran wang berkenaan, mangsa menunggang motosikal ke sebuah lagi bank terletak di Wisma Unikeb sebelum dia ditahan tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu suspek bertindak menahan motosikal mangsa.

“Sebaik berhenti, seorang suspek terus mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum merampas beg yang berisi wang tunai sebanyak RM49,000.

“Suspek sama kemudian menyeluk poket seluar dan dompet mangsa yang mengandungi wang tunai sebanyak RM11,000 sebelum mereka melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, suspek dianggarkan berusia lingkungan 30-an dan tidak memakai topeng ketika melakukan samun itu.

“Polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti imej suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2015 @ 9:50am
d