mutakhir

Syukur diterima

Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menerima baik keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Kerajaan Negeri Sembilan merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung isu transgender Islam yang dibenar berpakaian seperti wanita.

Pengarahnya Selamat Paigo berkata, keputusan itu petanda positif dan menyerahkan kepada peguam kerajaan negeri untuk meneruskan proses seterusnya.

“Alhamdulillah, panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara menerima rayuan kerajaan negeri yang dikemukakan barisan peguam yang diketuai peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini (semalam).

“Kami (JHEAINS) mempertahankan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 supaya dapat dilaksanakan dengan baik. Kami bersyukur apabila rayuan itu diterima dan kami lihatlah nanti perkembangan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan permohonan itu, semalam.

Md Raus memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan bagi menjawab persoalan sama ada Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 bertentangan dengan lima peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Selamat berkata, melalui keputusan itu peguam terbabit memfailkan hujahan berkenaan bagi bersama-sama mempertahankan seksyen itu.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tiga juru solek pengantin. Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30-an dan mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan tidak menepati berperlembagaan.

Panel tiga hakim dipengerusi Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus berpendapat peruntukan itu menyisihkan lelaki Islam yang mengalami masalah dipanggil kecelaruan identiti gender (GID).

Disiarkan pada: January 28, 2015 @ 7:38am
d