mutakhir

Bantah sebulat suara

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjadikan merotan anak sebagai kesalahan jenayah ditolak sebulat suara oleh Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES).

Presidennya Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, cadangan itu perlu diteliti sebaik mungkin dengan mengambil kira budaya dan agama masyarakat di negara ini, sebelum dipertimbangkan pelaksanaannya.

“Kita tidak menyokong dan tidak sepatutnya ibu bapa dijadikan sasaran, kita ibaratkan jika cadangan itu dilaksanakan guru mungkin terbabit sama.

“Kita bukan merotan murid dan pelajar sesuka hati, tetapi bertujuan mendidik malah ada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh merotan di khalayak ramai,” katanya selepas menghadiri mesyuarat KONGRES bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, semalam.

Kira-kira 20 ahli KONGRES menghadiri mesyuarat tahunan itu yang membincangkan pelbagai perkara berkaitan profesyen perguruan di negara ini.

Mohamed Sabri berkata, pihaknya turut membangkitkan supaya Kementerian Pendidikan mempertimbangkan cadangan mewujudkan mekanisme lain bagi pengambilan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) berikutan pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

“Dulu, pengambilan pelajar ke SBP berasaskan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang menggunakan mekanisme tertentu, tetapi kini ia tidak lagi relevan kerana PT3 diwujudkan.

“Contoh, mungkin perlu diwujudkan satu peperiksaan khas kelayakan kemasukan ke SBP,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat juga cadangan mewujudkan insurans untuk guru di negara ini, kerana mereka juga terdedah kepada risiko kemalangan ketika pergi dan balik dari tempat kerja.

“Ketika ini, murid dan pelajar sudah dilindungi insurans, jadi kami merasakan perlu guru juga diberikan perlindungan insurans,”katanya.

Selain itu, beliau berkata, kementerian turut memaklumkan kemudahan di pusat kegiatan guru akan terus dipertingkatkan, termasuk menambah kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Katanya, ia bagi memudahkan guru yang bertugas di pedalaman atau kawasan luar bandar menjalankan tugas mereka.

Disiarkan pada: January 28, 2015 @ 8:00am
d