mutakhir

Bekas pelajar terbabit IS dianggap pendiam

Permaisuri: Wan Muhammad Arif Wan Rokman, 23, yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) seorang pemuda yang baik dan pendiam.

Sikap bekas penuntut tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Marin Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis itu diakui seorang penduduk kampung yang enggan dikenali ketika mengunjungi rumah keluarganya di Kampung Bukit Kecil, Chalok, Setiu dekat sini, semalam.

“Dia (Wan Muhammad Arif) seorang pemuda yang berperwatakan baik dan pendiam selain kurang bercampur dengan penduduk.

“Ketika pulang bercuti, masanya banyak dihabiskan di rumah bersama keluarga dan tidak menyangka bagaimana dia boleh terbabit dengan kegiatan itu (IS),” katanya yang tidak mengetahui pelajar terbabit sudah dibuang pengurusan UiTM kerana masalah akademik.

Dia yang tidak mengenali lelaki terbabit secara dekat berkata, sukar mempercayai apa yang dilakukannya itu dan berkemungkinan pembabitannya dipengaruhi sebab lain.

Berhubung kenyataan Naib Canselor UiTM Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dalam sebuah akhbar tempatan semalam yang memberitahu putus tunang dan tekanan masalah peribadi menjadi punca Wan Muhammad Arif berjinak-jinak dengan kumpulan pengganas berkenaan, lelaki terbabit berkata dia tidak mengetahui perkara itu.

Bapanya dikenali sebagai Wan Rokman berusia 50-an ketika ditemui enggan memberi sebarang komen berhubung penahanan lelaki terbabit.

Tanpa berkata apa-apa, Wan Rokman hanya memberi isyarat tangan tanda tidak mahu ditemu bual sebaik ditanya berhubung penahanan anaknya sebelum masuk semula ke rumah.

Sementara itu Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya didapati rakyat Terengganu terbabit dalam kumpulan pengganas IS.

Disiarkan pada: January 28, 2015 @ 8:25am
d