mutakhir

400 pelajar Orang Asli akhirnya ke sekolah

Gua Musang: Seramai 400 pelajar Orang Asli yang terperangkap di beberapa perkampungan Orang Asli di sini selepas terputus jalan darat akibat banjir lalu dibawa ke sekolah masing-masing menaiki helikopter, pagi semalam.

Operasi memindahkan mereka dari Pos Balar, Bihai, Belatim, Simpor, Hau, Tohoi, Kampung Jader dan Kampung Dang Dut dilakukan dengan bantuan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Semua pelajar itu dibawa melapor diri ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Chiku 2, SMK Tengku Bendahara dan SMK Tengku Indera Petra 2 serta diberi kemudahan asrama.

Sebelum ini mereka terpaksa menangguhkan pengajian hampir sebulan selepas tidak dapat keluar daripada perkampungan masing-masing.

Setiap penerbangan memuatkan 30 pelajar dan mengambil masa selama sejam sebelum mendarat di Padang Pusat Sivik di bandar ini dan perjalanan pelajar Orang Asli diteruskan dengan menggunakan bas ke sekolah masing-masing.

Along Etol, 13, yang tinggal di Pos Balar ketika ditemui berkata, teruja apabila mahu melapor diri untuk tingkatan satu di SMK Bandar Chiku 2.

Katanya, keterujaannya lebih terasa apabila berpeluang menaiki helikopter selepas terperangkap gara-gara jalan darat runtuh.

“Seronok dapat naik helikopter datang ke sekolah kerana sebelum hanya melihat pemimpin besar saja ketika datang melawat kampung,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 6:54am
d