mutakhir

MBSA nafi pandang remeh aspek pencegahan

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyangkal dakwaan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menyatakan aspek pencegahan denggi adalah lesu di Selangor.

Datuk Bandar MBSA Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, sejak awal tahun ini pihaknya sudah melakukan sebanyak 3,494 pemeriksaan di kawasan pentadbiran mereka malah mengeluarkan 46 kompaun kepada orang ramai yang terbabit kes pembiakan nyamuk Aedes.

“MBSA sudah pergi ke tempat yang berisiko bagi menjalankan pemeriksaan lanjut malah saya sendiri turun padang secara tidak rasmi untuk memantau penularan wabak denggi ini selain program Terjah Denggi juga diteruskan setiap masa.

“Sejak dari awal tahun ini, MBSA sudah menjalankan 47,785 aktiviti ‘fogging’ di sekitar Shah Alam untuk membasmi nyamuk aedes selain mengedarkan 7,737 risalah berkenaan pencegahan dan bahaya Aedes kepada penduduk,” katanya dalam sidang media Majlis Penyerahan Van Jenazah daripada Bank Muamalat kepada MBSA di Wisma MBSA, di sini, semalam.

Menurut Ahmad Zaharin, sikap dan kesedaran penduduk di negeri ini yang tidak peka terhadap tempat pembiakan nyamuk aedes serta kebersihan menyebabkan langkah mengekang wabak denggi ini menjadi rumit.

“Saya baru sahaja memegang jawatan ini dan sedang merancang beberapa lagi program dan aktiviti lain yang mampu mencegah dan menghapuskan nyamuk aedes sekali gus menurunkan kes denggi di Shah Alam,” katanya.

Akhbar tempatan Isnin lalu melaporkan Kementerian Kesihatan menegur kerajaan negeri kerana masih tidak bersungguh mengambil langkah bagi memerangi wabak denggi di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, terdahulu, Ahmad Zaharin menerima sumbangan van daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad untuk dijadikan sebagai van jenazah bagi perkhidmatan penghantaran jenazah di sekitar Shah Alam dan Lembah Klang.

Majlis sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid yang menganggap sumbangan van kepada MBSA dapat memberi kemudahan kepada lebih ramai penduduk di daerah itu.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 9:21am
d