mutakhir

Sengsara barah otak

Oleh Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: Penderitaan seorang wanita yang menghidap barah otak menyebabkannya hanya terlantar atas katil sejak lebih setahun lalu mendapat perhatian pengurusan Pasaraya Econsave Simpang Renggam, semalam.

Zulailawati Sarwo, 45, yang tinggal bersama suami Malyano Musthadi, 48, serta tiga anak berusia tujuh hingga 16 tahun di rumah pekerja ladang di Kampung Seri Maju Jaya di sini, mula dikesan menghidap penyakit itu pada awal Januari 2014 dan kini sudah berada pada tahap empat.

Malyano berkata, isterinya koma sejak Oktober tahun lalu selepas menjalani tiga pembedahan untuk membuang ketumbuhan serta rawatan susulan di sebuah hospital di Johor Bahru.

“Sejak itu dia terbaring dan tidak boleh membuat sebarang kerja menyebabkan saya perlu membahagikan masa menguruskannya selain tanggungjawab sebagai pekerja kilang minyak sawit di sini.

“Seawal jam 5 pagi, saya dibantu adik ipar memandikan isteri sebelum meninggalkannya apabila bekerja di kilang berdekatan rumah,” katanya.

Malyano berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Johor Mas Imran Adam, semalam.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai buruh am dengan gaji RM36 sehari tidak mampu menyediakan kelengkapan kesihatan terbaik untuk isterinya seperti lampin pakai buang dewasa dan susu khas.

“Setiap bulan saya perlu membawanya sama ada ke hospital di Batu Pahat atau Johor Bahru untuk rawatan susulan,” katanya.

Katanya, dia berharap isterinya dapat kembali sembuh seperti biasa walaupun harapan amat tipis.

Sempena kunjungan itu, Econsave turut menyerahkan sumbangan lampin pakai buang dewasa untuk kegunaan Zulailawati.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 9:39am
d