mutakhir

Terima dua ugutan bunuh melalui telefon

Kuala Lumpur: “Kita mari, kita mari. Kita mari tembak sama ‘you’.”

Demikian antara kata-kata yang diucapkan seorang lelaki tidak dikenali melalui panggilan telefon kepada Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan yang mengugut mahu membunuh beliau.

Saravanan yang memperdengarkan panggilan telefon berkenaan di hadapan wartawan pada sidang media di Ibu Pejabat MIC semalam, mencabar lelaki berkenaan supaya tampil berdepan dengan beliau.

“Mari cepat, kita mahu buat laporan polis. Kita mahu tengok awak boleh tembak saya atau tidak,” katanya.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan kelmarin dipecat sebagai Pengerusi Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan oleh Presiden parti Datuk Seri G Palanivel.

Berikutan pemecatan itu, konflik kepemimpinan parti berkenaan semakin meruncing dan mewujudkan perpecahan ketara dalam komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Saravanan mendakwa menerima dua ugutan bunuh melalui telefon yang didakwa daripada penyokong Palanivel dan Datuk G Kumaar Aamaan yang sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Agung MIC namun tidak disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Terdahulu berlaku kekecohan di pintu masuk ibu pejabat parti itu apabila 20 lelaki yang tidak dikenali menghalang Saravanan dan Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy memasuki premis berkenaan.

Kumpulan lelaki yang berpakaian biasa terbabit mendakwa dilantik sebagai pengawal keselamatan melalui surat ditandatangani Kumaar.

Berlaku pertikaman lidah antara penyokong pemimpin kanan MIC itu sehingga memaksa polis campur tangan sebelum lelaki berkenaan beredar.

Sehubungan itu, Saravanan mengarahkan supaya Pemuda MIC bangkit dan mempertahankan premis milik parti itu daripada dikuasai samseng.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 9:44am
d