mutakhir

'Jangan main api, tuan presiden'

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk M Saravanan mendakwa pelucutan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan MIC Wilayah Persekutuan oleh Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

Beliau yang juga Naib Presiden parti menegaskan, Palanivel tidak berhak berbuat demikian kecuali selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC.

“Saya syak seseorang dalam rumah menandatangani surat pemecatan yang kononnya Palanivel yang tanda tangan.

“Jangan bermain dengan api tuan presiden kerana anda bukan pilihan sebenar ahli MIC sebaliknya atas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memberi tempoh kepada anda mesti berundur enam bulan sebelum tamat tempoh penggal sebagai presiden parti,” tegasnya pada sidang media tergempar di Ibu Pejabat MIC di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Wanita MIC Mohana Muniandy dan Ketua Pemuda C Sivarraajh.

Konflik kepemimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu semakin rumit apabila Palanivel dalam kenyataannya kelmarin memecat Saravanan sebagai peneraju MIC Wilayah Persekutuan.

Turut terbabit ialah seorang lagi Naib Presiden Datuk S Sothinathan yang sebelum ini Pengerusi Perhubungan MIC Negeri Sembilan.

Sothinathan dikatakan penyokong Palanivel namun turut dilucutkan jawatannya di peringkat negeri.

Dalam pada itu, Saravanan memberi tempoh 24 jam kepada presiden parti supaya menyelesaikan konflik dalaman parti itu.

“Saya ada tiga pilihan iaitu kita akan buat mesyuarat dengan resolusi 15 ahli CWC atau 2,000 pemuda dan wanita akan berarak ke rumah Palanivel, anda tidak datang kepada kami maka kami akan pergi bertemu anda.

“Pilihan terakhir ialah minta Perdana Menteri selaku Pengerusi BN campur tangan bagi menyelesaikan kemelut yang makin sukar ini,” kata beliau.

Beliau menegaskan, apa yang berlaku dalam parti itu ketika ini bukan semata-mata masalah mereka sebaliknya membabitkan BN.

Katanya, banyak pihak dalam BN dan pembangkang menyuarakan kebimbangan mereka.

“Sekarang saya kata saya betul mengikut perlembagaan dan Palanivel dakwa dia juga betul, jadi kita tunggu apa kata Pendaftar Pertubuhan (ROS),” tegas beliau.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 9:49am
d