mutakhir

Teksi terjun sungai

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Seorang pemandu teksi mati lemas apabila terperangkap di dalam kenderaan dipandunya selepas terjunam dan terbalik di dalam sungai di Jalan Sungai Lembing, dekat Taman Kampung Padang, di sini, semalam.

Dalam kejadia jam 7.30 pagi itu, mangsa, Husin Mahmud, 55, dari FELDA Bukit Goh, di sini, yang memandu teksi Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sebelum kejadian, teksi dipandu mangsa diekori kereta Proton Saga dipandu guru, Munirah Md Jedi, 31, dari kuarters guru Kampung Kempadang, di sini, yang menghala ke bandar ini dari Sungai Lembing.

“Ketika tiba di tempat kejadian, Munirah cuba memotong teksi dipandu mangsa sebelum lelaki itu secara tiba-tiba membelok ke kanan untuk masuk ke satu simpang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, teksi dipandu mangsa bergesel dengan kereta dipandu Munirah sebelum kedua-dua kenderaan berkenaan terbabas ke kanan jalan dan terjunam ke dalam sungai.

Menurutnya, teksi mangsa terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas manakala kereta dipandu Munirah hanya separuh tenggelam dalam sungai.

“Mangsa yang terperangkap di dalam teksinya meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dikeluarkan pasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, di sini, yang mengambil masa setengah jam.

“Pada masa sama, Munirah dibantu dikeluarkan orang awam dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk mendapatkan rawatan akibat parah,” katanya.

Abdul Aziz berkata, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 9:53am
d