mutakhir

Helah isteri mengidam pelanduk

Gerik: Seorang lelaki cuba memperdaya pihak berkuasa dengan mendakwa isterinya mengandung dan mengidam memakan daging pelanduk selepas dia ditahan ketika membawa keluar haiwan yang sudah disembelih itu di Kilometer 25, Jalan Gerik-Kupang, Baling di sini, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, auta lelaki berusia 30-an itu terbongkar apabila isterinya yang datang ke balai polis mengaku tidak mengandung.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi, lelaki itu bersama rakannya, juga 30-an, dipercayai keluar dari hutan di situ selepas memburu pelanduk iaitu haiwan di bawah kawalan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Sebaik suspek keluar ke tepi jalan berkenaan, empat anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) negeri bersama dua anggota unit peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, menahan mereka.

Komander UPP Perak Asisten Superintendan Kasturi Othman berkata, sebaik tiba di tepi jalan dan ternampak anggota penguat kuasa, kedua-dua suspek terus mencampakkan pelanduk yang dipikul dan selaras senapang patah ke arah motosikal mereka untuk melarikan diri.

“”Bagaimanapun, ketika cubaan melepaskan diri suspek yang membawa pelanduk jatuh tersungkur ke dalam longkang sebelum diberkas, manakala seorang lagi terus lari menghilangkan diri dalam gelap.

“”Sebelum itu, anggota kami mendengar bunyi satu das tembakan di dalam hutan berhampiran menyebabkan kami menunggu kedua-dua suspek keluar hampir sejam kemudian,”” katanya, semalam.

Kasturi berkata, empat anggotanya bersama dua polis terbabit pada mulanya membuat rondaan bersama untuk mengesan kes kecurian kereta yang berlaku di Hulu Perak sebelum menjumpai Proton Saga yang diletakkan di tepi hutan berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, di dalam kereta berkenaan terdapat dua lelaki berusia 40-an dan ketika disoal mendakwa kereta dinaiki mereka rosak sebelum tiba-tiba terdengar bunyi tembakan di dalam hutan berhampiran.

Katanya, dua lelaki di dalam kereta itu mendakwa tidak mengetahui motif bunyi tembakan itu dan selepas disoal siasat serta memeriksa dalam kenderaan yang tidak mencurigakan menyebabkan mereka dibebaskan tanpa syarat.

“”Suspek ditahan didapati tiada lesen menggunakan senapang dan senapang yang dirampas itu diserahkan kepada pihak PERHILITAN Gerik untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 10:47am
d