mutakhir

Sentuhan seni dawai

Oleh Mohamad Yatim Latip

Melaka: Walaupun sudah bersara sejak lima tahun lalu, namun kemahiran menghasilkan seni halus kraftangan berunsurkan replika menggunakan kawat atau dawai terus dimanfaatkan seorang warga emas.

Bagi Abdul Manap Bakar, 61, menghabiskan masa terluang membuat replika pelbagai bentuk serta saiz dan kemahirannya itu sukar dicari.

Apa tidaknya, sebut apa sahaja replika, daripada bersaiz kecil hingga besar semuanya dihasilkan pesara itu dan jika dilihat secara dekat, pasti ramai terpegun dengan hasil kraftangan halus.

Menurut Abdul Manap, dia menceburi bidang berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu sebelum bersara sebagai juruteknik rendah Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) Sultan Iskandar, Pasir Gudang, Johor.

“Bidang ini tidak ramai berminat jika tidak nampak nilai seninya. Hanya bagi mereka yang tahu menilai hasil seni terutama seni membuat replika menggunakan kawat seperti saya, akan menghargainya.

“Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan kerana banyak peringkat perlu dilakukan bermula daripada membentuk replika, mempateri kawat hinggalah kerja paling remeh iaitu melentur dan mengimpal kawat kecil yang halus,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Melaka Baru, Batu Berendam, di sini.

Abdul Manap berkata, pelbagai bentuk dan saiz replika, antaranya Menara Eiffel, Jambatan San Francisco, Menara Kuala Lumpur, pelantar minyak, kapal tangki, kincir air dan angin, jam besar, pencawang TNB, satelit, beca, basikal, nyamuk, malah stesen janakuasa TNB tempat dia pernah berkhidmat dulu.

“Keseluruhannya, 41 replika jenis besar dan kecil saya buat, termasuk replika dihasilkan berdasarkan gambar selain ada yang diilhamkan menerusi imaginasi sendiri.

“Kawat yang digunakan untuk membuat struktur replika diperoleh daripada bahan terbuang iaitu bahagian dalam kabel elektrik yang tidak digunakan serta peralatan mengimpal,” katanya.

Abdul Manap berkata, sesuatu model replika yang agak rumit seperti pemandangan gambar Kaabah secara keseluruhan perlu diteliti berbulan atau bertahun lamanya sehingga membolehkannya memperolehi semua sudut pada model dihasilkan.

Menurutnya, bagi menghasilkan sesuatu replika, dia perlu menghabiskan masa siang dan malam menyiapkannya.

“Replika paling lama dan susah pernah dibuat ialah Menara Eiffel setinggi 2.7 meter yang mengambil masa lebih empat tahun untuk disiapkan,” katanya.

Abdul Manap yang tinggal bersama isteri, Iskiah Min, 63, berkata walaupun kebanyakan replika dihasilkannya sehingga kini masih belum terjual, namun dia tetap tidak berputus asa melakukan kerja itu setiap hari.

“Seni pembuatan replika menggunakan kawat ini selain memerlukan kesabaran serta ketekunan, kita mesti ada idea dan kreativiti dalam menghasilkan seni kraftangan halus memandangkan semuanya begitu rumit.

“Justeru, jika ada anak muda berminat mempelajari atau menceburi bidang seperti dilakukan ini, saya sedia memberi tunjuk ajar,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 10:51am
d