mutakhir

Hukuman berat menanti

Oleh Adnan Mohamad dan Khairul Najib Asarulah Khan

Kuala Lumpur: Penjara dan denda. Itu hukuman bakal menanti dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan selepas ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kerana menjual rokok seludup dalam beberapa serbuan berasingan di Johor, Kelantan dan Negeri Sembilan, kelmarin.

Mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 114 (1) dan Seksyen 135(1)(iii) akta sama, mana-mana individu yang menjual rokok seludup boleh didenda minimum 10 kali ganda nilai barang yang dirampas dan maksimum 20 kali ganda nilai barang yang dirampas atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam serbuan Ops Outlet di sebuah kedai runcit di Jalan Wakaf Stan Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan, seorang lelaki warga Pakistan ditahan selepas pemeriksaan JKDM menemui 11 karton rokok seludup pelbagai jenama termasuk John dan Gudang Garam.

Difahamkan, kedai runcit berkenaan disewakan penduduk tempatan kepada warga asing berusia 30-an itu dengan sewaan RM1,300 sebulan. Lelaki terbabit kemudian ditahan untuk siasatan lanjut sebelum didakwa.

Dalam serbuan lain di Persiaran Jasa 1, Rini Hills, Skudai, Johor pula, penguat kuasa JKDM menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 30-an yang memiliki rokok seludup pelbagai jenama seperti U2, John dan Gudang Garam di premisnya.

Di Kampung Teluk Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan, seorang lelaki tempatan berusia 50-an turut ditahan JKDM kerana menjual rokok seludup di kedai runcitnya.

Untuk rekod, dalam tempoh Februari 2010 hingga Oktober 2014, 39,000 pemeriksaan outlet sudah dilakukan di seluruh negara dan 8,500 kes rokok seludup dikesan.

Daripada jumlah itu, 6,000 peruncit yang menjual rokok seludup pula ditangkap.

Setakat ini, jumlah peruncit yang dikenakan tindakan mahkamah sebanyak 720 kes manakala anggaran jumlah nilai rokok seludup dirampas dalam tempoh itu RM80 juta.

Kebanyakan peruncit ini dikatakan membuat keuntungan kecil ke atas rokok seludup yang dijual sedangkan pihak sindiket yang membekalkan rokok seludup berkenaan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Apabila ditahan JKDM yang agresif menjalankan operasi berterusan, peruncit yang terpaksa menanggung akibatnya.

Disiarkan pada: January 29, 2015 @ 12:25pm
d