mutakhir

Angkara ribut

Shah Alam: “Ketika saya bersama ibu bapa dan beberapa guru sedang mengadakan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), tiba-tiba angin kencang berserta hujan melanda kawasan sekolah.

“Tidak lama selepas itu, kami dikejutkan dengan bunyi bumbung terjatuh menghempap kereta milik seorang guru. Namun kejadian itu tidak menyebabkan kecederaan pada murid,” kata Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan Seksyen 20, Haidzir Sham Masngat, 42, mengenai kejadian ribut yang berlaku jam 4 petang kelmarin.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan tiga bilik darjah, pusat sumber, surau dan kantin sekolah mengalami kerosakan.

“Ketika kejadian semua murid sudah mengosongkan kelas kerana sesi rehat dan kebanyakan daripada mereka sedang berkumpul di kawasan kantin,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, walaupun beberapa kemudahan di sekolah berkenaan rosak, PIBG sudah bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan awal bagi membaiki kerosakan itu secepat mungkin kerana tidak mahu mengganggu sesi pembelajaran.

Hujan lebat yang melanda bandar ini kira-kira setengah jam itu turut menyebabkan beberapa kawasan antaranya Seksyen 13, 20 dan 21 mengalami banjir kilat selain beberapa batang pokok tumbang sehingga menghalang lalu lintas.

Disiarkan pada: January 30, 2015 @ 7:16am
d