mutakhir

Alyah kecewa jadi 'umpan' majlis

Kuala Lumpur: Penyanyi Alyah kecewa apabila nama dan wajahnya ‘digunakan’ penganjur acara di Sabah sebagai ‘umpan’ majlis makan malam di sana yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Alyah atau Noor Hasliah Abu Hassan, 34, yang dihubungi menerusi pengurusnya Lisa Tahir berkata, promosi itu disebarkan secara meluas sedangkan pihaknya tidak menerima sebarang bayaran pendahuluan untuk acara ditawarkan itu.

“Saya akui ini bukan benda baru dan banyak kali berlaku bukan saja kepada saya malah pada artis lain juga. Sudah tentu saya kecewa apabila benda macam ini terjadi sampai sekarang.

“Saya sepatutnya menerima bayaran pendahuluan 50 peratus minggu ini sebelum terbang ke sana yang dijadualkan hari ini. Tapi, sampai hari ini tidak ada bayaran dijanjikan itu sedangkan promosi diuar-uarkan. Bila tidak terima, saya anggap ia terbatal,” katanya.

Sumber mendakwa, majlis makan malam bersempena perasmian filem terbitan produksi Sabah itu dijadualkan berlangsung bermula 7 malam di Hotel Promenade Tawau.

Selain perasmian filem, beberapa penyanyi termasuk Alyah dan penyanyi Indonesia, Tegar turut diundang membuat persembahan.

Bagaimanapun, semalam, sumber dalaman penganjur acara itu mengesahkan ia dibatalkan kerana berlaku penyelewengan duit untuk majlis terbabit.

Lisa menambah, pihaknya berharap ‘penipuan’ sedemikian yang berulang-kali berlaku dapat dibanteras oleh pihak berpengaruh dalam industri hiburan seperti persatuan artis dan badan tertentu.

“Kalau ikut prinsip pengurusan saya, kita memang tidak layan sesuatu undangan selagi tidak terima bayaran pendahuluan dijanjikan. Secara rasminya, kami tidak terbabit kerana penganjur langgar syarat apabila tidak membayar deposit.

“Apa berlaku di pihak sana kami tidak tahu, tapi pada pihak kami apabila tiada bayaran dijanjikan maka dengan sendirinya tawaran itu terbatal,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2015 @ 10:07am
d