mutakhir

Mesej alam barzakh

Oleh Togi Marzuki

Pontian: “Beberapa hari lalu dia menghantar SMS kepada semua orang memberitahu sehari di akhirat bersamaan 1,000 tahun di dunia,” kata Norizan Abd Kadir, 45, ibu kepada pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yunos Sulaiman yang maut dalam kemalangan di Kilometer 49.1, Jalan Pontian-Johor Bahru berdekatan Kampung Pengkalan Raja, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa Muhammad Aiman Syakir Azmi, 18, anak sulung daripada dua beradik itu terbunuh selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang wanita.

Mangsa yang cedera di kepala dan badan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pontian, kira-kira jam 7 malam manakala pemandu dan penumpang MPV itu tidak cedera.

Menurutnya, beberapa hari lalu anaknya dikatakan menghantar SMS berkenaan kepada semua ahli keluarga, rakan-rakan dan beberapa guru sekolahnya.

“Pada mulanya saya fikir dia hanya menghantar SMS itu kepada ahli keluarga, tetapi selepas kemalangan yang meragut nyawanya, saya dimaklumkan ramai rakan dan gurunya turut menerima SMS sama.

“Saya tidak sangka SMS dihantar arwah sebenarnya satu peringatan yang cuba memberitahu dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Utama, Pekan Nanas di sini, semalam.

Norizan berkata, kehilangan Muhammad Aiman satu dugaan besar dalam hidupnya kerana arwah seorang yang rapat dengan keluarga terutama bapanya.

Sementara itu, seorang guru sekolah itu, Siti Mahera Mat, 30, berkata, warga sekolah turut merasai kehilangan Muhammad Aiman yang disifatkan seorang pelajar yang baik.

Disiarkan pada: January 30, 2015 @ 10:33am
d