mutakhir

'Syukur rumah siap April ini'

Kuala Krai: “Alhamdulillah saya bersyukur rumah yang saya tunggu selama ini akan siap tidak lama lagi,” kata Wan Nordin Wan Ismail, 51, dari Kampung Manek Urai Lama, di sini, semalam.

Wan Nordin berkata, lebih manis rumahnya menjadi antara yang pertama dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di sini, semalam.

Katanya, sebelum ini dia bersama isteri dan dua anaknya tinggal di dalam khemah sementara berhampiran tapak rumah mereka hampir sebulan selepas rumahnya musnah dihanyutkan arus deras banjir.

“Dalam kejadian itu saya hanya sempat selamatkan surat beranak sahaja, manakala yang lain semua dihanyutkan banjir.

“Sudah sebulan kami duduk dalam khemah dan kalau nak bina rumah sendiri memang tidak mampu kerana saya hanya kerja kampung.

“Saya bersyukur rumah yang dijangka siap April ini dapat kami duduki dengan selesa,” katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Rumah Kekal Mangsa Banjir, di sini, semalam.

Wan Nordin, seorang daripada lima penerima fasa pertama projek pembinaan rumah kekal yang dijangka siap dalam tempoh 75 hari.

Dalam majlis itu, Najib turut mendengar taklimat Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sektor Bisnes Datuk Adanan Mohamed Hussain sebelum beramah mesra dengan mangsa banjir selama 30 minit.

Seorang lagi penerima, Rohani Ab Majid, 71, yang juga seorang ibu tunggal bersyukur kerajaan menyegerakan pembinaan rumah kekal itu selepas rumahnya ranap.

“Alhamdulillah selepas rumah ini siap kami dapat tinggal dengan lebih selesa. Tengok dalam gambar, rumah nampak selamat untuk hadapi kemungkinan berlaku banjir lagi.

“Ini bukti kerajaan cukup prihatin terhadap mangsa banjir dan saya harap ia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2015 @ 10:48am
d