mutakhir

Tidak tutup kes

Kuala Lumpur: Siasatan kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 masih diteruskan dan kes itu tidak akan ditutup.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, walaupun sudah hampir 11 bulan berlalu sejak kehilangan pesawat bersama 227 penumpang dan 12 anak kapalnya, kes berkenaan masih diberi fokus.

Beliau berkata, kertas siasatan kehilangan pesawat itu tidak pernah ditutup.

“Penyiasatan masih berjalan dan kami tidak pernah menutup kes ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khalid berkata, siasatan polis tertumpu kepada empat perkara iaitu kemungkinan pesawat itu dirampas, sabotaj, keadaan psikologi penumpang dan anak kapal serta masalah peribadi dihadapi penumpang dan anak kapal.

“Walaupun kami tidak mempunyai bukti konkrit tetapi kami masih berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, termasuk perkembangan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2015 @ 10:50am
d