mutakhir

MAS jamin pampasan adil, munasabah

Kuala Lumpur: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) akan memastikan pampasan adil dan munasabah dibayar kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 berdasarkan peruntukan undang-undang.

Dalam satu kenyataan semalam, MAS bersama-sama masyarakat seluruh dunia bersedih dengan pengisytiharan nasib malang menimpa pesawat berkenaan.

Jurucakapnya berkata, susulan daripada pengumuman itu, wakil syarikat penerbangan akan menghubungi waris untuk meneruskan proses pembayaran pampasan.

“MAS akan menggunakan sumber di Pusat Sokongan Keluarga yang sudah ditubuhkan di Kuala Lumpur untuk memudah dan mempercepatkan proses pampasan, menyediakan maklumat terkini yang proaktif selain memasang talian telefon tambahan.

“Pusat berkenaan akan menjadi titik utama hubungan bagi waris di Malaysia dan di bahagian lain di dunia, bersama-sama dengan beberapa pejabat serantau kami selain dari China,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan tragedi kehilangan MH370 berkemungkinan menyebabkan syarikat insurans meneliti aspek pengumpulan risiko mereka dan mengkaji semula bendungan kasar.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Insurans Malaysia Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, ini berikutan peningkatan kemalangan yang kemudiannya menyebabkan tuntutan meningkat.

“Saya tidak rasa mereka terbabit dalam insurans penerbangan akan meninggalkannya.

“Syarikat insurans hayat akan mengkaji semula pendirian mereka terhadap apa yang dikenali pengumpulan tidak diketahui dan melihat bagaimana kekerapan berlakunya tragedi malang seperti ini memberi kesan kepada prospek penjana jaminan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2015 @ 10:51am
d