mutakhir

Keluar sijil kematian

Kuala Lumpur: Pengisytiharan semua 239 penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 dianggap terkorban membolehkan pelbagai urusan membabitkan kepentingan keluarga mangsa khasnya yang beragama Islam diteruskan.

Imam Besar Masjid Negara Azhar Tuarno berkata, bagi semua 17 penumpang serta anak kapal beragama Islam, pelbagai urusan membabitkan pewarisan serta tuntutan harta boleh dimulakan.

“Melalui perisytiharan ini, maka sijil kematian boleh dikeluarkan pihak berkaitan. Justeru, keluarga mangsa boleh memulakan proses tuntutan berkaitan hak masing-masing ke atas harta, pemansuhan perkahwinan dan sebagainya,” katanya, di sini, semalam.

Azhar berkata, bagi wanita kehilangan suami, mereka boleh memulakan proses pemansuhan perkahwinan.

Menurutnya, selepas tamat tempoh edah apabila pemansuhan perkahwinan dibenarkan, balu boleh berkahwin lain jika memilih untuk berbuat demikian.

Berkaitan solat ghaib, Azhar memaklumkan ia perlukan pengesahan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum dijalankan.

“Penumpang dan anak kapal MH370 dikategorikan sebagai mafqud atau orang hilang hingga usaha mencari dimuktamadkan serta disabitkan kematiannya oleh mahkamah syariah.

“Solat ghaib ditunaikan itu perlu diniatkan untuk penumpang dan anak kapal yang beragama Islam saja. Bagaimanapun, ia perlukan pengesahan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk melaksanakannya,” katanya.

Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Prof Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, bagi permohonan mengesahkan status sebagai balu, wanita berkaitan perlu ke mahkamah syariah.

“Mereka perlu failkan kes dan mahkamah syariah akan menjalankan pendengaran. Mahkamah syariah mungkin akan gunakan kenyataan daripada pihak berkaitan seperti Jabatan Penerbangan Awam (DCA) sepanjang pendengaran untuk mengeluarkan perintah anggapan kematian,” katanya.

Beliau berkata, apabila mahkamah mengesahkan dan mengeluarkan perintah, barulah balu itu dikategorikan dalam edah dan tempoh berkenaan ialah empat bulan 10 hari.

Disiarkan pada: January 30, 2015 @ 10:51am
d