mutakhir

Semua penumpang, kru meninggal

Oleh Naqiukamil Abdullah dan Norzamira Che Noh

Kuala Lumpur: Kerajaan semalam mengisytiharkan semua 239 penumpang dan kru pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, 8 Mac tahun lalu dianggap sudah meninggal dunia dan kehilangan pesawat itu adalah satu kemalangan.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pengisytiharan berkenaan berdasarkan Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa atau Konvensyen Chicago.

“Dengan pengisytiharan itu, kerajaan memahami ia adalah suatu yang sukar kepada semua waris. Tanpa mahu mengguris perasaan setiap ahli keluarga, pengumuman ini diharapkan mampu memberi bantuan yang mereka perlukan, termasuk proses pampasan,” katanya menerusi pengumuman khas di RTM1, petang semalam.

Menurutnya, pihaknya juga dimaklumkan MAS bersedia meneruskan proses segera bagi mendapatkan pampasan.

Azharuddin yang juga Pengerusi Tugas Khas Teknikal Tahap Tinggi MH370 (HLTTF) berkata, bagi membolehkan setiap waris mendapat maklumat yang disahkan, satu laman web khas MH370 iaitu www.mh370.gov.my disediakan.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia, China dan Australia sudah menggunakan semua sumber untuk mencari pesawat berkenaan tanpa mengira kos dengan harapan memberi jawapan kepada ahli keluarga mangsa.

“Kami sudah berusaha dan menjejaki setiap petunjuk dengan mengkaji semula semua data yang ada selama 327 hari, namun gagal mengesan lokasi terakhir pesawat berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dalam Bab 1, Annex 13 Konvensyen Chicago bertajuk ‘Kemalangan Pesawat dan Siasatan Insiden’ menyatakan definisi ‘kemalangan’ termasuk keadaan pesawat itu hilang.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang yang sama menyatakan pesawat itu dianggap hilang apabila pencarian rasmi ditamatkan dan bangkai pesawat gagal dikesan.

Katanya, Annex 12 Konvensyen Chicago yang memperincikan mengenai standard antarabangsa untuk mencari dan menyelamat menyatakan istilah ‘mencari’ merujuk kepada operasi mencari orang dalam kesusahan.

“Berdasarkan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Annex 12 (perenggan 5.5.1) menyatakan operasi mencari dan menyelamat patut diteruskan sehingga semua mangsa diselamatkan atau sehingga semua harapan yang munasabah untuk menyelamatkan mangsa dijalankan,” katanya.

Azharuddin berkata, berdasarkan perenggan 5.5.2, negara berkenaan perlu mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa negara lain dalam proses membuat keputusan sebelum memutuskan untuk menamatkan operasi mencari dan menyelamat.

“Berdasarkan peruntukan Piawaian Lampiran 12 dan 13 itu, pada 28 April tahun lalu, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) menyarankan operasi mencari dan menyelamat ditukar ke fasa mencari dan mendapatkan semula,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2015 @ 10:54am
d