mutakhir

LIAM bayar RM16.8 juta kepada waris

Kuala Lumpur: Hampir RM16.8 juta daripada jumlah keseluruhan RM18.7 juta sudah dibayar Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) kepada waris penumpang dan kru pesawat Penerbangan Malaysia MH370 sejak pengumuman pesawat itu hilang di Lautan Hindi Selatan, Mac tahun lalu.

Pembayaran berkenaan membabitkan waris 47 daripada 50 rakyat Malaysia dan enam bukan warganegara di dalam pesawat itu dengan jumlah polisi insurans sebanyak 185 polisi.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan LIAM semalam, pembayaran itu membabitkan 14 syarikat insurans tempatan.

“Kami melahirkan rasa simpati kepada waris selepas pengumuman Jabatan Penerbangan Awam (DCA), pesawat itu diisytiharkan hilang dan penumpang serta kru dianggap terkorban.

“Pada masa sama, kami memuji komitmen kerajaan Malaysia, Australia dan China dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat sejak Mac tahun lalu,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kebanyakan waris tidak mahu membuat tuntutan insurans selepas kebanyakan mereka percaya ahli keluarga masih hidup serta mahu bukti penemuan bangkai pesawat sebelum proses tuntutan boleh dibuat.

Kelmarin, Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengisytiharkan tragedi itu sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan semua penumpang dan kru dianggap terkorban.

Pada 8 Mac, pesawat itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan menara kawalan trafik udara radar kira-kira jam 1.30 pagi waktu tempatan sebelum gagal dikesan sehingga kini.

Disiarkan pada: January 31, 2015 @ 5:34am
d