mutakhir

Kongsi kejayaan

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Pekan: Komuniti setempat perlu berperanan aktif dalam memberi sokongan dan sumbangan kepada pelajar dan sekolah sebagai usaha menjamin kecemerlangan pendidikan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia meliputi penyertaan ibu bapa dalam bidang akademik dan kokurikulum terutama bagi menjayakan program pendidikan anak mereka dari peringkat sekolah ke institusi pengajian tinggi.

Pada masa sama katanya, bekasa pelajar yang sudah berjaya perlu menyalurkan dana kewangan kepada sekolah dan IPT di kawasan mereka bagi membolehkan lebih banyak program pendidikan dilaksanakan.

“Jika (seseorang) bukan dermawan, tanpa wang ringgit, pihak terbabit boleh tampil menyokong sebarang aktiviti yang dilaksanakan menerusi pembabitan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“(Ini) kerana (pelajar) adalah jaminan aset kepada negara pada masa depan,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Ishak Muhamad dan Pengurus Besar Yayasan Pahang Mahmud Mohd Nawawi.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, masyarakat negara ini perlu mencontohi budaya masyarakat Barat yang sentiasa membantu institusi pendidikan mereka selepas berjaya dalam lapangan masing-masing.

Beliau berkata, lepasan universiti terkemuka seperti Universiti Harvard di Amerika Syarikat menyalurkan sumbangan kepada institusi pengajian itu sehingga ia memiliki dana yang besar untuk dimanfaatkan pelajar baru.

Katanya, langkah itu juga membolehkan institusi pendidikan tersohor itu menjadi pilihan pelajar dari seluruh dunia.

“Mereka tidak keberatan membeli peralatan dan kemudahan untuk memajukan (institusi itu). Ini adalah penanda aras yang baik dan perlu kita contohi,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2015 @ 5:11am
d