mutakhir

Jati diri kekang godaan

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Golongan artis disaran mengikuti kelas pengurusan jati diri dan kaunseling untuk mengembalikan keyakinan diri berdepan dengan ribuan peminat ketika membuat persembahan, sekali gus mengelakkan mereka terbabit dengan dadah.

Kaunselor berdaftar Hushim Salleh berkata, kebanyakan artis yang terjebak dengan dadah tidak mempunyai keyakinan diri dan memerlukan mereka mengambil bahan terlarang itu untuk menghindarkan perasaan itu.

Katanya, kebanyakan artis tidak dilengkapkan dengan ilmu pengurusan diri dan bagaimana mahu mengawal tekanan ketika berdepan dengan orang ramai.

“Bayangkan jika penganjur sudah membayar ribuan ringgit untuk satu persembahan tetapi artis berkenaan gagal melakukannya, sudah tentu kerjaya sesetengah artis akan musnah berikutan tiada lagi tawaran menyanyi atau berlakon.

“Atas alasan itu, sesetengah golongan artis mengambil bahan terlarang itu untuk ‘menutup’ perasaan malu serta boleh ‘terkinja-kinja’ atas pentas,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai 245 penggiat seni hiburan dengan sebahagian besarnya membabitkan golongan artis ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sepanjang 2010 hingga November tahun lalu sekali gus membuktikan gejala dadah semakin menjadi ‘barah’ dalam industri itu.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah AADK Datuk Suhaimi Abdullah berkata, kebanyakan artis memberi alasan kononnya untuk menghilangkan rasa gemuruh dan yakin boleh memberikan persembahan terbaik atas pentas serta boleh bekerja tanpa rehat dalam jangka masa lama.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 1, 2015 @ 5:12am
d